KEBELAKANGAN ini aktiviti memancing seolah-olah menjadi trend atau hobi bagi sebahagian besar masyarakat negara ini.
Hakikat ini pasti diakui dengan wujudnya banyak kolam ikan ibarat cendawan tumbuh terutama di kawasan-kawasan bandar.
Senario yang sudah sebati dengan gaya hidup masyarakat kini membuktikan bahawa aktiviti yang dulunya dianggap sebagai hobi untuk mengisi masa lapang telah berubah.
Sebaliknya, pada masa yang sama ia juga membuka lebih banyak peluang dan menarik lebih ramai individu untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
 |
| pacu 3.4 kg casting umpan soft plastic |
Malah, aktiviti yang dulunya dianggap hak mutlak kaum lelaki, kini turut mendapat tempat di hati wanita. Bagaimanapun, jika diperhatikan rata-rata kolam memancing ikan ini hanya memperuntukkan masa yang tertentu bagi membolehkan pemancing melepaskan gian masing-masing.
Justeru, mereka yang berhasrat membawa keluarga untuk menikmati aktiviti memancing bersama-sama terkubur begitu saja. Sebaliknya, jika anda berkunjung ke Sukida Resort, yang terletak berhampiran Sungai Tekala, Semenyih anda pasti memperolehi sesuatu yang berbeza.
Kedudukannya yang cukup strategik ini memudahkan para pengunjung terutama yang tinggal di sekitar kawasan Lembah Klang mengunjungi resort ini. Perjalanan yang mengambil masa satu jam dari Kuala Lumpur seolah-olah tidak terasa apabila anda menjejakkan kaki ke resort ini.
Sekali imbas, jika dilihat resort yang dipenuhi dengan tumbuhan hijau yang segar dan kolam-kolam ikan seluas satu hingga lima kaki ini mungkin ramai tidak menyedari ia sebenarnya bekas lombong tinggal.
 |
| pacu 5.5kg bottom umpan roti perisa strawberry |
Namun, berkat kesungguhan dan kesabaran pengusaha dan pemiliknya, Pizal Ahmad, kawasan yang satu ketikanya sunyi sepi kini berjaya menarik orang ramai mengunjunginya. Pada masa yang sama, rimbunan pepohon menghijau mewujudkan suasana tenang dan aman damai sesuai untuk merehatkan fikiran.
Kini, kawasan seluas 35 ekar daripada 75 ekar telah berjaya diusahakan. Menurut Pizal, resort yang diusahakan sejak 10 tahun lalu berkonsepkan kepada aktiviti rekreasi dan memancing bersama keluarga.
Pizal yang mempunyai pengetahuan dalam bidang landskap memberitahu, nama Sukida dalam bahasa Jepun bermaksud 'Saya cinta kamu'. Bagaimanapun, katanya jika diterjemahkan dalam bahasa Melayu, ia mempunyai 1,001 makna, maksud dan pengertian tersendiri.
Menurut beliau, resort ini turut melibatkan masyarakat Orang Asli yang tinggal di sekeliling kawasan tersebut terutamanya yang melibatkan pembinaan calet.
''Hampir sebahagian pondok atau tempat istirahat yang didirikan di sini mendapat sentuhan daripada masyarakat orang Asli,'' katanya. Dengan daya tarikan tersendiri, resort ini turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan bersama keluarga.
Menurut beliau, mereka yang berminat untuk mengunjungi resort ini tidak dikenakan sebarang bayaran. ''Masuk adalah percuma, manakala bayaran hanya dikenakan jika mereka ingin memancing,'' katanya.
Menariknya, konsep yang diperkenalkan oleh resort ini agak berbeza jika dibandingkan dengan kolam-kolam sedia ada. Pengunjung yang berminat untuk menyertai aktiviti memancing hanya dikenakan bayaran termurah iaitu sebanyak RM10 bermula jam 8 pagi hingga 9 malam.
Malah, mereka juga bebas untuk membawa seberapa banyak joran untuk memancing ikan.
Bagaimanapun, bagi mereka yang ingin bermalam di resort ini diberi kelonggaran memancing selama 24 jam. Berbeza dengan resort yang sedia ada, di sini pengunjung hanya perlu membayar harga ikan yang ingin dibawa balik berdasarkan harga yang ditetapkan. Menurut Pizal, demi kepuasan pengunjung, pihaknya akan memastikan bahawa pelbagai jenis ikan sentiasa ada dalam kolam.
 |
| pacu 4 kg bottom umpan roti perisa strawberry |
Bagaimanapun katanya, menyedari pemeliharaan ikan air masin mempunyai impak pada alam sekitar, resort ini lebih menumpukan kepada ikan air tawar. Terdapat lebih 20 jenis ikan air tawar yang boleh didapati di resort ini seperti ikan jelawat, leekoh, rhohu, patin, talapia, haruan, kaloi dan sebagainya.
Menariknya resort ini, mereka yang tidak meminati aktiviti memancing tetapi ingin mendapatkan ikan, masih berpeluang untuk membeli ikan yang diternak di sini. Pada masa yang sama, mereka yang ingin beristirahat sambil menikmati hidangan ikan bakar, kunjungan anda ke resort ini pasti cukup bermakna. Persekitarannya yang hijau dilitupi pohon-pohon yang merimbun dengan hembusan angin, mewujudkan udara yang cukup segar dan begitu sesuai untuk aktiviti sukan seperti berjoging.
Bagi mereka yang ingin bermalam di resort ini, pengunjung berpeluang menyewa calet yang disediakan dengan harga yang berpatutan. Dengan pelbagai kemudahan yang disediakan, pengunjung berpeluang menyewa calet dengan harga terendah iaitu antara RM30 hingga RM80.
Menurut Pizal, untuk menarik orang ramai berkunjung ke resort ini, pihaknya telah mengadakan pelbagai promosi, termasuklah membuat sepanduk terpanjang di dunia. Sepanduk yang dijangka mencecah sehingga 42km itu, akan direntangkan dari Hulu Langat hingga ke Putrajaya.
''Pemilihan angka 42 sempena meraikan kegemilangan negara yang telah 42 tahun merdeka,'' katanya.
Selain aktiviti memancing bersama keluarga, pihaknya juga menawar dan menganjurkan pelbagai pertandingan seperti memancing. ''Bagi mereka yang ingin mengadakan program motivasi, aktiviti seperti jungle trekking, berkayak, barbeque dan pelbagai lagi turut disediakan,'' katanya.
Pada masa yang sama, resort ini juga menyediakan kemudahan seperti bilik mandi, tandas dan bilik untuk solat. Bagi mereka yang ingin menjamu selera, restoran yang terdapat di resort ini juga sedia menyediakan pelbagai menu istimewa yang menepati cita rasa pengunjung.
Meskipun hampir sedekad resort ini diusahakan, namun Pizal masih meletakkan sasaran untuk membangunkannya dengan lain-lain kemudahan yang dapat memenuhi cita rasa pengunjung. ''Kita merancang untuk mendirikan lebih banyak calet dan tempat istirahat terutama di kawasan-kawasan kolam sebagai tempat berteduh dan berkelah,'' katanya.
Menyentuh sambutan, Pizal memberitahu resort ini mendapat kunjungan yang cukup menggalakkan terutama pada hujung minggu. ''Setakat ini permintaan cukup menggalakkan terutama bagi mereka yang ingin mengadakan majlis sambutan hari lahir, kem motivasi dan lain-lain lagi,'' katanya.
 |
patin 3.4 kg casting umpan soft plastic
|
Sehubungan itu, bagi anda yang berhasrat untuk mendapat maklumat lanjut, pertanyaan atau tempahan, Pizal boleh di talian 03-8132725 atau Roy 019-3133737.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz2OLQrAqWW
© Utusan Melayu (M) Bhd